Mesyuarat Latihan Bersama Kelab-Kelab Toastmasters Area K2 Program TLI Ke-2 UMS Kota Kinabalu Mesyuarat Latihan Siri 2017-02-08 Mesyuarat Latihan Gabungan Toastmasters Area K2 Pertandingan Pidato Antarabangsa & Ucapan Tajuk Bualan

Sunday, 23 November 2014

Bahasa Melayu bahasa ilmu

ISU bahasa Melayu yang tidak tidak diyakini sebagai bahasa ilmu sememangnya sudah lama diperkatakan. Bahasa Melayu dilihat tidak boleh diangkat serta setaraf dengan bahasa Inggeris yang dikatakan sebagai bahasa ilmu.

Dalam Mingguan Malaysia 9 November lalu, isu ketidakyakinan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sekali lagi dibangkitkan. Dalam kolum Anekdot Ahad yang bertajuk Mengangkat bahasa Melayu memerlukan iltizam politik telah mempersoalkan langkah golongan orang politik yang tiada iltizam untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Rencana tersebut menyatakan faktor utama ialah hujah lama bahawa bahasa Melayu bukan bahasa ilmu untuk meneroka bidang profesional. Ini kononnya ilmu tidak ada dalam bahasa Melayu dan rujukan semua dalam bahasa Inggeris.

Persoalannya negara-negara lain seperti Jepun, Korea dan China yang langsung tidak menggunakan bahasa Inggeris boleh menjadi negara maju, sedangkan kita yang sedang memperhebatkan bahasa Inggeris masih ketinggalan berbanding mereka?

Hakikatnya bahasa Melayu juga mampu berada setanding bahasa-bahasa lain seperti bahasa Jepun dan China, namun untuk menjadikan bahasa Melayu itu setaraf dengan bahasa-bahasa ini, satu usaha yang kuat terutamanya pembabitan golongan orang politik.

Bagaimanapun kegusaran pihak-pihak tertentu tidak mahu menganggap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu menjadi reda kerana secara kebetulan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa di Canberra, Australia baru-baru ini berkata, bahasa Melayu mempunyai tempat sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan ia tidak harus dikorbankan dalam usaha untuk memperkasakan bahasa Inggeris.

Dalam mempertahankan keputusan kerajaan untuk menukar semula pengajaran Sains dan Matematik ke dalam bahasa Melayu, Muhyiddin menjelaskan bahawa, “Saya tidak fikir bahasa saya harus dibunuh hanya kerana saya nak memperkasakan bahasa Inggeris.”

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, pandangan beliau berhubung perkara itu bukan kerana beliau orang Melayu tetapi kerana bahasa Melayu memang layak menjadi bahasa ilmu.

Sementara itu Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Dr. Latiff Bakar jelasnya bahawa bahasa Melayu sememangnya boleh dijadikan sebagai bahasa ilmu apabila bahasa Melayu telah dijadikan sebagai bahasa penyelidikan dan sudah dibukukan.

“Bahasa Melayu sudah diajar di peringkat universiti, bukan universiti tempatan sahaja malah di seluruh dunia seperti di Korea, China dan di beberapa negara Eropah. Ini membuktikan bahawa bahawa bahasa Melayu sememangnya sebuah bahasa ilmu. Bukan itu sahaja, bahasa Melayu juga telah diiktiraf sebagai bahasa kelima terbesar di dunia,” tegas Dr. Latiff.

“Saya melihat masyarakat kita hari ini tidak mempunyai kekuatan dalam mempertahankan bahasa ibunda kita sendiri, kita cukup lemah dan terlalu mudah terpengaruh. Terlalu mudah sangat untuk menerima bahasa Inggeris. Sejarah juga telah menunjukkan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa yang sudah dipakai sebagai bahasa berdagang ketika zaman kesultanan Melayu Melaka dahulu. Sekiranya pedagang mahu berdagang dengan Melaka mereka mesti menguasai bahasa Melayu,” ujar beliau lagi.

Pelabuhan Melaka cukup terkenal ketika itu hanya menggunakan bahasa Melayu, jadi mengapa hari ini tidak mengolah kaedah lama yang telah digunapakai itu dalam dunia moden ini? Tindakan yang sewajarnya perlu dilakukan segera oleh kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

“Bahasa Melayu bukan hanya di papan tanda sahaja, tetapi penggunaannya perlulah meluas. Saya lihat kerajaan juga masih menggunakan bahasa Inggeris dalam surat-surat rasmi. Kenapa perkara ini perlu berlaku di negara yang memartabatkan bahasa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi?,” soal Dr. Latiff.

Ada juga yang menganggap sekiranya ingin maju dalam bidang teknologi, kita perlu menguasai bahasa Inggeris. Namun hal tersebut disangkal sekeras-kerasnya oleh Namazi Azahari bekas jurutera yang pernah bekerja di beberapa syarikat multinasional termasuk Fujitsu dari Jepun.

Azahari yang kini dalam proses menyiapkan satu projek mengeluar mikropemproses berpaten yang boleh memberi saingan kepada syarikat gergasi Intel menegaskan bahawa bahasa Inggeris sebenarnya tidak mempunyai kelebihan dalam bidang teknologi.

Jelasnya, untuk menguasai bidang sains dan teknologi bahasa Inggeris bukanlah bahasa yang mampu memberikan kelebihan. Bidang teknologi seperti kimia dan fizik, kita perlu mengusai matamatik. Matamatik bukan bahasa sebaliknya adalah angka. Jadi dalam bahasa Melayu juga boleh menguasai menguasai bidang sains dan teknologi.

“Saya fikir dalam kalangan pemimpin politik khasnya tidak mempunyai keyakinan untuk membawa dan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Sekiranya pelbagai pihak termasuk kerajaan sendiri berganding bahu dan berusaha untuk mengangkat bahasa Melayu sejak dulu lagi, saya rasa bahasa Melayu ketika ini sudah berada dalam kelasnya yang tersendiri,” jelsanya.

Kesimpulannya masih ada cahaya di hujung terowong untuk melihat bahasa Melayu dianjak sebagai bahasa ilmu di negara ini, pada masa yang sama turut memperkasakan bahasa Inggeris yang boleh dijadikan sebagai nilai tambah untuk meneroka bidang teknologi dan industri. Pengalaman orang seperti Namazi penting untuk membuktikan bahasa Melayu seperti juga bahasa Inggeris yang boleh menjadikan seseorang itu menguasai teknologi.


Sumber:  utusan-online


No comments:

Post a Comment