Mesyuarat Latihan Bersama Kelab-Kelab Toastmasters Area K2 Program TLI Ke-2 UMS Kota Kinabalu Mesyuarat Latihan Siri 2017-02-08 Mesyuarat Latihan Gabungan Toastmasters Area K2 Pertandingan Pidato Antarabangsa & Ucapan Tajuk Bualan

Wednesday, 29 April 2015

Melayu tersepit dalam bahasa sendiri - Rais Yatim


Masyarakat Melayu hari ini tersepit dalam penggunaan bahasa sendiri disebabkan kekangan dasar, pelaksanaan dan keadaan semasa, hingga menyebabkan karya penulis Melayu tidak memberangsangkan di pasaran.

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim berkata untuk mengatasi masalah itu Malaysia perlu bersahabat dengan negara jiran, Indonesia, bagi mencari jalan penyelesaian mengetengahkan karya Bahasa Melayu ke republik itu dan sebaliknya.

"Bahasa kita tersepit meskipun kita merupakan penduduk majoriti. Ia seolah-olah 'sandwich' - terhimpit dalam situasi kita tidak dapat bergelut memperjuangkannya.

"Justeru, jalinan ini (hubungan kerjasama) mesti dirancang melalui penjiwaan adat dan budaya kita yang serumpun dengan Indonesia.

"Untuk menjadikan bahasa Melayu itu sebagai lingua franca, ia mesti diusahakan secara antarabangsa," katanya.

Beliau berucap melancarkan buku edisi khas Sasterawan Negara Baha Zain, di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Awang Sariyan dan Sasterawan Negara yang ke-12 Datuk Baharuddin Zainal atau Baha Zain.

Mengulas lanjut, Rais, yang baru-baru ini dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Teknikal Bahasa Melayu dan Indonesia bagi mengkaji aspek teknikal bahasa itu bersama sebuah jawatankuasa kerajaan Indonesia, berkata ia bukanlah satu tugas mudah.

"Saya mohon kepada DBP dan sasterawan negara kita bangkit dan mencari jalan agar hubungan kerjasama dan perjuangan ini dapat direalisasikan.

"Kita mahu menjadikan Bahasa Melayu dan Indonesia sebagai bahasa ilmu antarabangsa, sebagai contoh, digunakan dalam buku teks sekolah selari dengan Bahasa Inggeris.

"Kita juga perlu berusaha untuk memperluaskan Bahasa Melayu dalam aspek hiburan, perdagangan, perakaunan dan dalam bidang teknikal," katanya.

Menyatakan bahawa Malaysia dan Indonesia kini mengalami trend penurunan minat masyarakat untuk menyambung pengajian dalam bidang bahasa, beliau menyarankan cendekiawan di institusi pengajian tinggi termasuk Kementerian Pendidikan mengadakan konvensyen pengajian nusantara.

Katanya, konvensyen itu yang memfokuskan tentang adat dan budaya orang Melayu serta Bahasa Melayu secara langsung membantu mengembalikan kepentingan Bahasa Melayu sebagai lingua franca.

"Pembudayaan Bahasa Melayu di negara kita kurang diambil berat oleh masyarakat, jabatan kerajaan waima menerusi pendidikan.

"Bidang pendidikan khususnya pada hari ini wajar mengadakan program asuhan semula tentang bahasa, apa itu budi dan apa itu budaya," katanya.

Dalam majlis itu, tujuh buah buku Baha Zain dilancarkan, antaranya bertajuk 'Berguru pada Binatang', 'Siang Tak Pernah Mungkir dan Kau Akan Dewasa', 'Monolog Kecil' serta 'Jalan Desa ke Kota'.


Sumber:  Bernama

Kunjungi pusat latihan pengucapan awam Kelab Pidato di Mesyuarat Lahan pada Rabu minggu ke-2 dan ke-4 jam 7:30 - 10:00 malam bertempat di Lot 2, Tingkat 1, Taman Fajar Baru, Jalan Airport Batu 7, Sandakan. TOASTMASTERS where leaders are made.


No comments:

Post a Comment